Jadikan khidmat masyarakat sebagai amalan hidup




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Julai. - Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti yang julung kalinya diadakan adalah sangat bermakna kerana dapat memberikan ruang untuk membincangkan isu-isu yang semakin mencabar dalam dunia masa kini, yang boleh mempengaruhi budaya, pemikiran, dan perpaduan masyarakat.


Sesungguhnya, sebuah komuniti yang kukuh tidak hanya bergantung kepada pembangunan ekonomi, tetapi lahir daripada kasih sayang, kepedulian, dan semangat saling mendukung.


Inilah inti pati khidmat masyarakat, satu nilai murni yang membina insan dan kesejahteraan bangsa.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bersabda demikian semasa berangkat pada Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti, yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Pengiran Babu Raja, di sini.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik seterusnya bersabda, khidmat masyarakat bukan sekadar aktiviti sambilan, tetapi budaya hidup yang menanam rasa tanggungjawab terhadap sesama insan.


Kekuatan komuniti dapat dilihat apabila jiran saling membantu, belia bergiat dalam kerja amal, dan syarikat menyumbang kembali kepada masyarakat setempat, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.


Dalam konteks Negara Brunei Darussalam sabda DYTM, aspek Pemedulian dan Prihatin turut ditekankan dalam titah paduka ayahanda pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB Tahun 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi bahawa, "Dua nilai kemanusiaan iaitu Pemedulian dan Prihatin memang sudah menjadi darah daging kepada orang-orang Brunei, selaku warisan turun temurun dari nenek moyang".


DYTM dalam sabdanya turut menekankan bahawa ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu: "Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain."


"Kerajaan paduka ayahanda melalui 'Social Blueprint' menekankan aspek keprihatinan dan pemedulian kerana ia memupuk perpaduan, mendidik belia dengan empati dan kepimpinan, serta membina komuniti yang resilien dan siap siaga menghadapi cabaran.


"Namun, khidmat masyarakat sahaja tidak mencukupi tanpa pemerkasaan komuniti. Kedua-duanya saling melengkapi.


"Pemerkasaan berlaku apabila masyarakat diberi latihan, kemahiran, peluang kepimpinan, serta ruang untuk menyertai perancangan pembangunan setempat, komuniti yang diperkasakan akan lebih mandiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak lain," sabda DYTM.


DYTM seterusnya bersabda menyeru untuk menjadikan khidmat masyarakat sebagai amalan hidup, agar semangat saling membantu ini terus kekal dan diwarisi oleh generasi akan datang.


"Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atas usaha murni ini. 


"Saya yakin persidangan kali ini akan menjadi wadah bermakna untuk bertukar pandangan, pengalaman, dan mengukuhkan jaringan kerjasama dalam memperkasa agenda khidmat masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," sabda DYTM lagi.

Close